
Oleh kerana ini merupakan rencana bersifat kenegaraan. Kalam ini akan kutulis dalam bahasa ibunda Tanah ini iaitu Bahasa Melayu.
Sudah 51 Tahun takdir negara ini diserahkan kepada penduduknya sendiri. Tidak kepada negara lain, tidak kita serahkan haluan negara di atas angin maupun di bawah angin.
Titik penjajahan bermula dari Tahun 1511 yang kemudiannya berakhir secara rasmi pada tahun 1957 sewajarnya perlu dingati. Kemerdekaan yang disebabkan kemuafakatan antara masyarakat majmuk di Tanah Melayu perlu disemai untuk setiap warisan anak negara.
Ya, negara kita kini tidak lagi dijajah, tiada lagi Bendera Union Jack terpacak di sana sini dan nyanyian lagu "God Save The Queen" tidak lagi berkumandang di corok-corok Radio..
Akan tetapi benarkah kita merdeka?
Ada banyak pandangan, ada yang mengatakan kita belum bebas dari budaya Barat. Di era ini, mana yang bermanfaat sewajarnya kita contohi mana yang tidak seharusnya kita perangi habis-habisan.
Penjajahan secara imperial mungkin dilihat tidak releven lagi dalam dunia masa kini. Maka corak penjajahan telah berubah daripada penawanan negara kepada perang psikologi dan juga ekonomi.
Bagaimana kaedah psikologi yang ditanam ke atas negara-negara bekas jajahan mereka ini? Mereka mengugut, mereka menyindir, mereka menyelar bahawa kebebasan yang diberi akan memudaratkan kita. Kaedah psikologi yang
ditanak oleh penjahanam penjajah ini sangat berkesan. Kesannya seolah-olah jika dinding penjara dirobohkan, banduan-banduan didalamnya tidak akan sama sekali bergerak kerana di dalam otak mereka membayangkan tidak ada kehidupan di dalam nikmat kebebasan.
Itulah hakikat yang cuba diterapkan oleh penjajah-penjajah ini terhadap pembangunan dan penggunaan perisian komputer di negara kita Malaysia yang tercinta ini. Kata mereka, "Kamu salah kami betul ,biar kami tunjukkan kamu jalan yang benar". "Jangan berkongsi banyak sangat nanti kamu rugi, simpan apa yang kamu tahu diam-diam. Rahsia itu cantik ".Diberi kita latihan percuma, bantuan pembelian komputer , diberi lambakan sijil, pujian, amal jariah dan sebagainya yang akhirnya memerangkap kita di dalam arus perniagaan mereka yang rakus.
Ramai yang lemas dan terus tenggelam tanpa timbul , ada yang terumbang-ambing , tetapi sebahagian kecil mula berani menongkah arus melawan penjajah-penjajah ini . Ibarat cili padi, walaupun kecil kesannya cukup kuat. Semoga usaha mereka yang mulia ini akan terus berjalan walaupun tekad menghadapi dugaan dan cabaran yang pelik-pelik.
Perjuangan menentang penjajahan tidak berhenti pada tahun 1957. Ia akan sentiasa diwarisi dari generasi ke generasi lain samada dalam bentuk peperangan minda, fizikal mahupun kalam.
MERDEKA!! MERDEKA!! MERDEKA!!